Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyesuaikan diri dengan perubahan ini dengan memperluaskan penggunaan ICT di sekolah dan di institusi pendidikan tinggi. Ini bermula dengan memperkenalkan subjek-subjek berkaitan seperti Perkomputeran dan Teknologi Maklumat untuk pelajar di peringkat menengah dan mendirikan Sekolah Bestari untuk mendedahkan murid-murid dari peringkat rendah lagi kepada komputer
yang digunakan untuk proses mengajar dan belajar. Rata-rata boleh dirumuskan bahawa kerajaan di Malaysia hari ini adalah memberi keutamaan untuk membentuk masyarakat bermaklumat dan berilmu menerusi penggunaan ICT secara meluas dan menyeluruh.
Namun usaha kerajaan ini tidak akan berjaya jika anggota masyarakat tidak dibudayakan sepenuhnya akan penggunaan komputer dan ICT. Pengalaman di negara maju menunjukkan empat keperluan perlu ada jika kerajaan dan masyarakat ingin meningkatkan pendedahan dan penerimaan masyarakat kepada teknologi maklumat dan komunikasi. Keperluan itu ialah sikap penduduk dan pelajar mestilah positif dan bersedia untuk berubah, prasarana komputer dan rangkaian komunikasi mestilah lengkap dan mencukupi, tenaga yang terlibat untuk memperkenal dan memperluaskan teknologi maklumat mestilah mahir dan wang mestilah mencukupi untuk menggerakkan semuanya itu.
Satu kajian telah dijalankan untuk menghuraikan bagaimanakah pembudayaan ICT itu berlaku di kalangan remaja-remaja di sekolah dan di institusi pengajian tinggi di Malaysia. Walaupun kajian memberi tumpuan kepada proses pendidikan di institusi formal iaitu sekolah dan universiti, ia juga merangkumi proses galakan dan latihan yang dilalui oleh remaja di rumah dan dalam masyarakat.
Kertas kerja ini akan membentangkan dapatan-dapatan utama kajian yang dijalankan dalam tahun 2002-2003. Berasaskan dapatan itu, maka diharap kita dapat bersama-sama ukur secara kasar tahap pembangunan masyarakat muda di bidang ICT ini, dan mengenalpasti samada terdapat jurang (gap) antara golongan yang mahir dengan kurang mahir dan perbezaan mengikut angkubah tertentu seperti kaum, geografi dn status ekonomi keluarga.
No comments:
Post a Comment